Wednesday, April 7, 2010

Mualaf: Luahan hati seorang bapa 2.

Mualaf: Luahan hati seorang bapa 1.

 

Assalamualaikum,

 

          Apa khabar anak papa sekarang ini?. Tentu Umu Salamah sudah semakin remaja dan membesar walaupun bukan di depan mata papa. Sesungguhnya di saat ini dan ketika ini papa amat merindui kamu tambahan pula kamu anak papa yang pertama. Perasaan rindu ini sukar  untuk dinyatakan dalam surat yang sekecil ini kerana papa sesungguhnya menderita hidup tanpa kamu, hari-hari berfikirkan kamu, sudah makan ke,pelajaran macam mana,keadaan kamu macam mana dan paling papa fikirkan ialah keselamatan kamu. Papa sangat-sangat sayang kamu. Kamu tahukan yang papa sayangkan kamu.

Salamah,

          Apabila papa memilih untuk memeluk Islam bukan bermakna hubungan kita akan putus, Kita masih berkeluarga. Kamu darah daging papa!.Islam tidak mengajar umatnya memutuskan tali persaudaraan. Islam agama yang cukup cantik. Papa setelah berusia 40 tahun baru menikmati satu kehidupan yang cukup damai dan tenang. Islam yang memberi  ketenangan itu. Jadi sebab itulah papa sanggup mengislamkan kamu kerana papa mahu kamu lebih awal menikmatinya. Salamah, Islam satu-satunya agama yang ada di dunia ini yang memandu kehidupan kita ke jalan yang benar. Setiap pergaulan ada batas-batas yang telah digariskan untuk kita. Setiap lelaki dan perempuan diajar untuk bersopan santun. Dan Islam mengangkat darjat kaum wanita bukannya memandang hina ke pada orang perempuan. Maruah kamu akan terbela dalam Islam. Cuba Salamah pergi berjumpa dengan Ustaz atau Ustazah di sekolah kamu,tanyakan mereka tentang Islam. Kamu pasti mereka tidak akan mengutuk agama lain dan mereka hanya akan menunjukkan kecantikan Islam saja. Inilah Islam mereka tidak akan menghina agama lain tidak seperti agama Hindu akan menghina Islam secukupnya.

 Salamah yang papa sayangi,

          Walaupun papa telah memeluk Islam, akan tetapi papa tetap berbangsa India,mengamalkan budaya India selagi tidak bertentangan dengan agama Islam. Bila papa memeluk Islam tidak bermakna papa kena hidup macam orang Melayu. Islam adalah agama,dan Melayu adalah bangsa. Tengok saja di Negara India, orang berbangsa India di sana ada yang beragama Hindu,Islam,Kristian dan lain-lain. Macam juga orang putih,bukan semuanya beragama Kristian,masih ramai yang beragama Islam. Sebab itulah papa katakan tadi yang Islam bukan milik satu bangsa saja. Siapa saja boleh beragama Islam dan mereka tetap boleh berbudayakan bangsa mereka sendiri.

Salamah yang papa rindui,

          Papa sentiasa berdoa semoga masa depan Salamah akan berjaya. Papa amat berharap Salamah dapat mengikut dan hidup bersama papa. Papa berjanji papa akan menyara kamu sehingga kamu berjaya. Sekarang ini pun papa dah ada kenalan seorang berbangsa Inggeris yang beragama Islam bekerja sebagai doctor di WHO. Seorang yang kaya raya. Kalau kamu ingin sambung belajar ke Switzerland  papa sanggup menghantar kamu ke sana. Dia pun sudah berjanji untuk membantu papa.

Salamah,

          Mak kamu bukannya mampu untuk menyara dan membiayai kamu sehingga ke university. Dengan pendapatan yang kecil hasil daripada bekerja sebagai guru tadika,kamu ingat dia dapatkan membesarkan kamu dengan baik dan sempurna. Kamu tentu masih ingat,sebelum keluarga kita berpecah,siapa yang mencari rezeki untuk keluarga kita. Papa kan.Papa yang bekerja kuat untuk menyara hidup  kita semua sebab itulah dalam 5 tahun kebelakangan ini papa tidak berada di rumah sangat kerana papa kerja kontrak di Terengganu,tetapi sebelum ini papa memang banyak bersama kamu. Kamu tahu sebab apa? Sebabnya papa ingin mencari banyak wang untuk masa depan kamu semua. Salamah fikirkanlah masa depan kamu, kalau papa dan mak kamu sudah meninggal dunia dan hidup kamu masih terumbang ambing,macam mana?.Siapa yang akan membantu kamu pada masa itu?.

Salamah,

          Mak kamu tidak akan kembali semula kepada papa lagi. Dia buat banyak kesalahan kepada papa.Semenjak remaja dia telah dirosakkan oleh bapa saudara kamu,dan apabila dia memberitahu nenek kamu,nenek kamu tidak ambil tahu kerana dia lebih pentingkan maruah mak saudara kamu. Sebab itulah dia mengajak papa melarikan diri .Papa yang pada masa itu ingat dia memang cintakan papa. Sangkaan papa salah. Kalau dia cinta dan sayangkan papa tentu sekarang ini dia akan mengikut papa. Papa rasa amat sedih kerana baru sekarang ini papa rasa ditipu.Papa tidak mahu kamu menjadi seperti mak kamu. Papa lihat kamu memang seorang gadis yang baik dan pentingkan pelajaran. Sebab itulah papa mahu berjaya dalam hidup. Papa tidak mahu kamu terikut-ikut dengan perangai mak  dan mak saudara kamu. Mereka bukannya contoh yang baik

Salamah,

          Papa amat berharap semoga kamu akan berada dengan papa. Kamu,Abu Bakar dan Umu Habibah berada dalam satu anutan agama yang benar. Sesungguhnya Islam itu agama yang amat cantik dan sempurna. Ingatlah,papa akan membantu kamu berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat. Dan ingatlah papa amat-amat menyanyangi kamu adik beradik. Bagi Papa,tiada harta yang paling bernilai di dunia ini melainkan kamu,Abu Bakar dan Umu Habibah.

 

          Papa berharap dengan kehadiran surat ini dapat menjelaskan kepada kamu yang papa memang inginkan kamu. Jagalah diri kamu baik-baik. Salam sayang dari papa untuk kamu.

 

 

Papa yang merindui

No comments: